Tajuk posting kali ini adalah satu maxim latin berkaitan asas perundangan tort yang bermaksud "Seorang yang dengan sukarela meletakkan dirinya di dalam posisi di mana bencana boleh berlaku, dan dia mengetahui bahawa bencana boleh berlaku ekoran tindakannya itu, orang tersebut tidak boleh membuat tuntutan jika bencana itu benar-benar belaku kelak (dengan izin, " if someone willingly places themselves in a position where harm might result, knowing that some degree of harm might result, they cannot then sue if harm does in fact happen").
Maxim di atas adalah sejenis pembelaan yang sering digunapakai di dalam kes-kes Tort dan diterima sebagai satu Pembelaan Lengkap (Complete Defence). Jika defendan di dalam kes terhadapnya dapat buktikan kewujudan fakta dan keterangan yang membolehkan maxim ini digunapakai, plaintif akan hilang haknya untuk menuntut dan kes plaintf akan ditolak.
Contoh mudah yang boleh diberikan adalah seperti berikut; jika anda dengan sengaja duduk di tengah jalanraya yang sememangnya ada kenderaan lalu-lalang di atasnya, anda akan hilang hak untuk membuat tuntutan seandainya kemalangan benar-benar berlaku ke atas anda akibat daripada dirempuh oleh kenderaan yang lalu lalang di situ. Atau lebih mudah lagi, bak kata orang kampung saya "hang sendiri cari pasai, hang toksah nak komplen-lah lepaih ni pulak!"
Bagaimana pula halnya dengan senario berikut?
Sebagai contoh, anda merupakan penjawat awam antara pejabat tertinggi hierarkinya di dalam sebuah negara. Anda telah dikaitkan dengan tohmahan salahguna kuasa. Ada transkrip SMS yang sengaja dihebahkan yang menunjukkan anda dengan peguam anda telahpun bertukar-tukar pesanan ringkas yang mana ada mesej-mesej spesifik di dalamnya yang menimbulkan keraguan berkenaan faktor penyalahgunaan kuasa oleh anda sendiri.
Walaupun secara munasabahnya anda mengetahui natijah sekiranya anda berdiam diri atau tidak menerangkan sepenuhnya kepada umum apa yang sebenarnya berlaku, anda tetap tidak menafikan komunikasi sms-sms berkenaan dan sebaliknya cukup sekadar mengatakan ianya adalah peribadi, seraya membuat penafian kosong dan hambar ("bare denial") dengan mengatakan tidak wujud penyalahgunaan kuasa. Anda juga dengan suka dan relanya mengatakan adalah memadai pandangan seorang lagi penjawat awam yang lebih senior (tetapi sudah tidak dihormati langsung oleh umum) mengenai isu ini, tidak perlu ianya ditokok tambah lagi oleh anda sendiri.
"It doesn't really matter. The important thing is there is no abuse of power," he said.
"No need, no need, it is private. Whatever it is, the prime minister has said enough," he continued in the same tone.
"Why should it be of major concern? The important thing is if there is abuse of power and, if you read it carefully, there is no abuse of power, period,"
Seterusnya sepertimana yang telah dijangkakan, akibat daripada bentuk jawapan anda di atas, bencana di dalam bentuk tohmahan dan tuduhan ini kemudiannya bertambah menjadi-jadi dan semakin menggila. Musibah langsung lain juga turut bertimpa-timpa akibat tindak-tanduk anda bilamana umum, yang sebelumnya bersikap berkecuali, mula memandang serong terhadap anda, berbagai persepsi dan stigma negatif terus melekat kepada anda.
Soalan saya, sama atau tidak tindakan anda di atas dengan orang yang sengaja duduk di tengah jalanraya yang sibuk dengan kenderaan lalu-lalang di atasnya, padahal anda tahu musibah dan bencana yang bakal menimpa anda akibat tindakan berkenaan? Seterusnya, wajar atau tidak jika saya katakan bahawa anda sendiri dengan tindakan anda tersebut telah memberikan satu pembelaan sempurna ("complete defence") kepada mereka yang akan terus membuat tohmahan, memandang serong serta menaruh persepsi negatif terhadap anda?