..ini soal undang-undang, soal kententeraman dan keselamatan. Jangan semena-mena dipuja hanya semata-mata keputusan dibuat tidak menyebelahi pihak kerajaan yang tidak disokong oleh kita.
Tidak perlu saya buat kupasan undang-undang di sini, banyak sudah diperkatakan oleh umum mengenai kedudukan fasal perlembagaan dan undang-undang negeri berkenaan Islam dan bukan Islam di dalam konteks ini. Penghakiman pun telah dibuat, hanya tunggu rayuannya sahaja, jika ada.
Soal nahu, sejarah arab ataupun faktor bahawa ianya telah digunakan secara senyap-senyap oleh pihak gereja katholik sekian lama sebelum ini bukan isunya. Kes ini dibawa kerana ruling pihak Kementerian Dalam Negeri. Apa tujuan Kementerian sebegini diwujudkan di dalam sesuatu kerajaan? Bukan untuk mempromosikan pelancongan, mengawalselia hal-ehwal tanah ataupun untuk kemajuan sukan negara. Kementerian ini antara fungsi utamanya untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman negara. Apa sahaja yang mempunyai kebarangkalian mengganggu-gugat ketenteraman dan keselamatan awam di dalam negeri adalah di bawah bidangkuasanya.
Kita telah melalui proses pilihanraya dan kerajaan persekutuan yang ada hari ini mempunyai mandat untuk memastikan perkara di atas dan kementerian yang bertanggungjawab adalah kementerian tersebut di atas.
Susah benarkah untuk melihat rasional ruling yang dibuat KDN ke atas makalah Herald ini? Lihat sahaja di dalam arena blogosfera ini, suara-suara yang menentang tindakan gereja Katholik mencabar ruling KDN ini amat jelas kedengaran. Selari dengan itu, lihat sahaja laporan berita portal, suara-suara blog yang menyokong keputusan mahkamah. Jelas terdapat pertindihan cara sambutan atas keputusan mahkamah bukan? Ini baru di internet. Kesemua berita, komentar, baik yang menyokong mahupun yang menentang keputusan mahkamah, begitu jelas menghala kepada pertembungan dua haluan pemikiran yang ekstrem. Paling membimbangkan, hal ini adalah berkaitan agama. Sedikit sahaja pergeseran boleh membawa padah, buktinya lihat sahaja kepada apa yang telah berlaku sebelum ini, dan pada ketika ini. Bukan sahaja di negara kita malah di seantero dunia.
Ini yang cuba dihalang daripada berlaku oleh pihak KDN. Bukannya selama ini usaha mubaligh-mubaligh Khatolik ini untuk membawa "dakwah" mereka dihalang. Saya pasti sampai dek akal mereka bahawa isu sebegini kalau sudah mendapat perhatian umum pasti boleh meledak. Kenapa harus diteruskan juga mencabar di mahkamah?
Tambahan lagi di dalam suasana politik yang begitu panas, isu sebegini jika dibawa dan digembar-gemburkan sehingga ke peringkat mahkamah tidak akan menolong sesiapa. Soalnya sekali lagi, kenapa ianya harus diteruskan?
Dan bila periuk panas ini ditambahkan perisa dan rempah ratus, yang melibatkan akidah dan kepercayaan yang dijunjung masing-masing, oleh pengamal-pengamal politik dari sudut perjuangan politik mereka, pastinya sajian yang akan dihidangkan akan menjadi begitu pedas dan berapi sekali... Cuaca panas dengan hidangan yang pedas berapi adalah satu kombinasi yang tidak begitu enak...
Isu sebenar adalah mengenai kebarangkalian perihal yang diperjuangkan itu boleh mengganggu ketenteraman dan keselamatan dalam negara di dalam konteks negara Malaysia kita hari ini. Ini bukan soal nahu ataupun sejarah negara lain. Ini soal bila ianya sudah diketahui umum, dan di dalam konteks negara, hari ini. Ini bukan soal ianya telahpun digunakan secara senyap-senyap sebelum ini. Bukan juga ianya soal samada pengetahuan agama kami lebih hebat dari kamu....
Marilah kita sama-sama berdoa, dengan cara masing-masing, untuk kita dielakkan dari menjadi manusia bodoh sombong di dalam isu ini...