Thursday, September 10, 2009

Port Dickson dan saya...

PRK yang bakal diadakan di DUN Bagan Pinang mengingatkan saya kembali kenangan semasa di Port Dickson berdekad yang lampau. Saya anak seorang anggota tentera dan kami sekeluarga pernah menetap di PD dari tahun 1980 sehingga 1983, selepas hanya bersekolah tidak sampai setahun di SRK Sri Kinta Jalan Ashby, Ipoh. Itulah nasib keluarga tentera, berpindah-randah adalah adat bagi kami. Malahan di PD, High Chapparal Quarters Batu 4 Kem Si Rusa dan Flat Tentera Batu 5 telah menjadi kediaman kami sekeluarga hanya dalam tempoh singkat tersebut. Bapa saya menjadi jurulatih di LATEDA (Pusat Latihan Tentera Darat) di Batu 5, PD dan oleh yang demikian pantai Batu 4, 5 hingga Batu 7 (Teluk Kemang) menjadi mainan saya dan keluarga ketika itu.

Begitu juga dengan padang-padang Sekolah Panglima Adnan, Si Rusa malah KGV primary school di Seremban menjadi gelenggang saya yang ligat bermain hoki di zaman persekolah peringkat rendah. Saya bersekolah di Govt English Primary School (GEPS) PD. Isteri Isa Samad, allahyarhamah cikgu hazizah adalah bekas guru di sekolah saya dan saya masih ingat bila mana satu sekolah heboh bila beliau lepaskan jawatan kerana mengikut suaminya yang dilantik sebagai Menteri Besar. Muda-muda lagi dah jadi MB dan isteri MB. Apa itu MB sebenarnya pun kami bukannya faham sangat.

Saya juga ingat lagi kemudiannya pada tahun 1982, ketika di darjah 4, riuh rendah semua orang sekeliling saya dengan kes Datuk Taha dan Datuk Mokhtar Hashim di Gemencih. Kebetulan anak Mokhtar Hashim kemudiannya menjadi junior setahun saya dan juga rakan sepasukan bolasepak saya di MCKK selepas itu. Begitu kecil dunia ini sebenarnya.

Sedikit sebanyak, di PD jugalah saya mula secara tidak disengajakan mula mengikuti (cara budak-budak) senario politik tanahair dan mula mengenali nama-nama mahathir, musa, razaleigh apabila mula mencuri-curi baca buku Syed Hussein Al-Attas, tidak silap saya dan banyak lagi buku-buku berunsur politik (gosip politik) yang dibeli oleh bapa saya ketika itu. Ya, anggota tentera juga membaca buku-buku politik di zaman blog dan internet masih belum wujud. Jangan terkejut.

Masa itu, saya seronok betul ikuti cerita-ceriti politik walaupun sebenarnya tidak begitu faham apa yang berlaku dan bahang pilihanraya pertama PM baru Malaysia, Dr. Mahathir pada tahun 1982 telah menambahkan lagi bahan-bahan bacaan berunsur politik untuk saya. Ya lah dulu-dulu mana ada playstation, internet.. hendak main game & watch pun kena pinjam kawan-kawan, jadi habis satu suratkhabar saya baca, buku-buku bapa saya lah yang menjadi mangsanya. Politik pun politik lah, habis saya belasah. Bila dah pening baca, saya buka bahagian tengah buku-buku tu dan layan gambar-gambar yang dimuatkan dalamnya. Paling seronok bagi saya adalah "caption" yang kreatif oleh penulis berkaitan gambar-gambar tersebut.

Oh ya, saya juga ingat bahawa masa itu juga lagu Blues Gang, "Apo Nak Dikato" menjadi siulan, menjadi hits semasa dan mula menolak turun populariti kumpulan muzik indonesia seperti d'llyod dan sebagainya.

Liriknya nyanyian Ito masih segar dalam ingatan;

Poi pokan naik basika
Tongah haghi tongah paneh
Apo dayo motong gotah
Apo nak dikato
Kalau boleh nak jadi cikgu sekolah

Kek Kolo Pilah..........

Nampak gayanya, selain daripada isu persaingan (dan persaudaraan) sejak berabad lamanya dua serumpun di bumi nusantara yang menjadi isu hangat kini, Port Dickson juga akan pasti bertambah bingit selepas raya nanti dengan suami arwah cikgu hazizah kini telah juga kembali mencuri tumpuan ramai. Begitu juga dengan perihal pasukan keselamatan dan isu undi pos mereka juga tidak semena-mena semakin menjadi topik hangat kini... Subjek-subjek utama di tahun 2009 ini nampaknya masih serupa dengan apa yang saya ingat mengenai PD sekitar 1980-83, cuma jalan ceritanya berbeza sedikit.. Apo nak dikato....

Ito nyanyi lagi;

...Batu Ompek Toluk Komang
Tompek oghang mandi mando
Aghi minggu ponoh sosak
Apo nak dikato
Air laut bertambah masin
Kek pokan Port Dickson....

2 comments:

3Abdul said...

PD..

tahun 80 ke 81 report d segenting kem sebagai pegawai kedet intake 40 berapa x ingat jebat batalion sbb d kem sebatang kara batch yang terdahulu x passed-out lg.

1st day PT dh kena layak cukup2 dengan PTI - harap bukan ayah kau LK, 4 orang mati.

satu batch kena medical semula sbb dikatakan unfit, 7 orang sangkut termasuk saya seminggu kemudian kena discharge.

musnah impian nak jadi drebar fighter jet, hehe!

Lawyer Kampung said...

Bukan-bukan... haha. Dia bukan J/L PT ;) ..bro 3abdul, wirawan negara rupanya brader kita ni!