Saturday, March 14, 2009

PAU 2009: Pesanan Terbuka Untuk Para Perwakilan

Nukilan di bawah ini saya terima daripada saudara Kamarul Bahrain Md Yusof dari Sg Petani, Kedah



Pesanan Terbuka Untuk Para Perwakilan


Saya berasa terpanggil untuk turut serta dalam kehangatan bahang pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO.


Kepada Saudara Feriz Omar dan mungkin Saudara Zulkarnain Bakar (*ruangan forum di akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini) tidak perlulah kita memberi promosi percuma berpihak kepada mana-mana calon. Saya percaya setiap calon mempunyai karisma, kredibiliti dan asas perjuangan masing-masing.


Saya cuma ingin memetik tulisan Saudara Zulkarnain Bakar dari Sungai Petani. "Biarlah ahli-ahli Pemuda menilai dan memilih siapa yang mereka mahu".


Saya ingin bertanya siapakah ahli-ahli Pemuda yang akan menilai dan memilih ini?


Seperti yang kita semua sedia maklum, amalan yang diguna pakai oleh UMNO hingga kini adalah perwakilan Pemuda Bahagian yang akan memilih dengan cara mengundi calon untuk dijadikan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.


Para perwakilan Bahagian juga akan memilih 2 orang wakil beserta Ketua Pemuda Bahagian yang diamanahkan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda dan memangkah calon yang telah dipilih secara demokrasi oleh akar umbi. Maka tanggungjawab mereka hanyalah hadir dan memangkah calon yang telah dipilih oleh perwakilan Pemuda Bahagian sebelumnya. Status mereka hanya sebagai wakil kepada Bahagian masing-masing.


Mengapa perlu lagi ada kompromi dan alasan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah diletakkan ke bahu anda. Sekiranya anda hadir dan memangkah calon selain daripada yang telah dipilih oleh akar umbi, kesimpulan saya ialah anda sebagai wakil yang dipilih telah melakukan pengkhianatan dan pembelotan kepada aspirasi bangsa anda sendiri.


Dan sebagai pengkhianat dan pembelot, anda sebenarnya tidak layak mendabik dada mengatakan anda adalah pejuang bangsa yang tulus dan ikhlas. Juga kesan tidak langsung kepada parti yang kita sayangi ini ialah ianya dipenuhi dengan para pembelot, pengkhianat bangsa dan pembodek semata-mata.


Saya dengan suci hati percaya masih ramai ahli-ahli Pemuda yang muak, benci dan tidak mahu lagi keadaan sedemikian berterusan. Tidak mustahil juga akan ada ahli-ahli yang akan meminggirkan diri masing-masing akibat kebejatan yang melanda dan hilang kepercayaan kepada retorik laungan perjuangan yang diwar-warkan.


Sama ada kita mahu sedar atau tidak amalan kompromi dan alasan sedemikianlah yang menyuburkan praktis politik wang dan kempen cantas mencantas.


Pandangan saya ini tidak memihak kepada mana-mana calon. Cuma sekiranya Bahagian anda telah mengundi atau memilih Saudara Khairy Jamaluddin, maka anda perlu memangkah beliau. Jika Datuk Seri Khir Toyo, undilah untuk beliau. Begitu juga jika Datuk Mukhriz Mahathir maka wajiblah mengundi untuk beliau.


Saya sesungguhnya mengharapkan agar pandangan ini dapat sama-sama kita kaji dan selidiki dan turut diguna pakai secara am untuk pemilihan semua jawatan jikapun kita tidak mampu merealisasikan impian agar kesemua ahli UMNO mempunyai hak dan kuasa undi menentukan barisan kepimpinan.


Kepada kesemua perwakilan yang akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO bulan Mac nanti termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri, selamat menunaikan tanggungjawab dan amanah masing-masing. Ingatlah di dalam hati, setiap amanah akan dipersoalkan bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat juga. Wallahhu alamu bissawab.


KAMARUL BAHRAIN MY

Pemuda UMNO Bahagian Sg Petani

Kedah

5 comments:

Anonymous said...

Salam Tuan Lawyer,

Setuju dengan pandangan saudara Kamarul Bahrain. Walaupun saya bukan ahli Umno tapi kerana pemilihan kepimpinan Umno adalah sama dengan kepimpinan Negara, maka saya merasa rakyat secara amnya punya hak untuk memberi pandangan juga.

Blog Dato Kadir Jasin yang terbaru ada memperkatakan isu rasuah ini. Semoga pemimpin2 Umno dapat meluangkan masa membacanya terutama bahagian komentar kerana saya percaya ia mewakili suara majoriti rakyat. Betapa hinanya persepsi rakyat terhadap parti yang di harap memperjuangkan nasib bangsa dan negara.

Tapi dari satu sudut pula, kalau dah undi perwakilan wajib mencerminkan undi cawangan/bahagian, kenapa perlu diadakan pemilihan semasa PAU ? Kan dah nyata siapa yang menang dan tidak akan ada bezanya dari bilangan pencalonan?

Sememangnya sistem pemilihan Umno memberi ruang yang luas untuk amalan rasuah bermaharajalela. Tidak akan ada berkat Allah kepada barisan kepimpinan yang dinodai rasuah. Dan jika barisan yang sama menerajui kabinet negara .. berkatkah Malaysia ? Sayugianya, ia dimansuhkan dan digantikan dengan sistem yang lebih telus dan yang benar2 mencerminkan kehendak akar umbi.

Quantum Metal Consultant said...

UMNo harus mengamalkan keputusan mesyuarat cawangan sebagai keputusan rasmi pemilihan barisan kepimpinan UMNO kerana rasuah dapat diminimakan kerana ia melibatkan terlalu ramai ahli di peringkat akar umbi.

Anonymous said...

salam tuan lawyer kampung,
tidak dinafikan harapan tertinggi kita adalah supaya semua ahli diberi hak mengundi. cuma dalam konteks sekarang dimana wakil dipilih oleh perwakilan untuk pergi memangkah, itulah yang terbaik dibuat, saya rasa.

Unknown said...

"Walaupun saya bukan ahli Umno tapi kerana pemilihan kepimpinan Umno adalah sama dengan kepimpinan Negara, maka saya merasa rakyat secara amnya punya hak untuk memberi pandangan juga."

Kenyataan ini sungguh menarik perhatian saya. Ini membuktikan bahawa dalam keadaan sekarang dimana UMNO menjadi parti dominan dalam BN,yang memerintah negara kuasa melantik atau menentukan PM Malaysia terletak di atas kebijaksanaan 2600 orang lebih perwakilan UMNO di Perhimpunan Agong UMNO.

Politik wang diperingkat bawah dan tengah tidaklah begitu mengancam jika dibandingkan dengan perwakilan di Perhimpunan Agong yang berkuasa untuk menentukan pucuk pimpinan negara.

Cuba kita bayangkan jika pihak/kuasa asing hendak menguasai kerajaan Malaysia, mereka hanya perlu menguasai 2600 orang ini sahaja. Tak perlukan kesemuanya pun. Majoriti mudah sudah cukup.Bayangkan jika mentaliti perwakilan masih tidak berubah untuk meminta dan menerima wang suapan,hadiah, dan pelbagai lagi imbuhan untuk mnyokong calon-calon tertentu. Bukankah begitu mudah untuk menguasai kerajaan Malaysia dengan hanya membeli undi 2600 orang perwakilan ini kita boleh menguasai PM Malaysia dan sebahagian besar Anggota pentadbirannya.

Renungkanlah!

alkampong said...

sdr/i

tak perlu kata kata indah, tak perlu kata-kata manja , tak perlu ungkapan keras bagi mengurangkan kemelut yang sedang dihadapi ini..apa yang nyata adalah imbuhan-imbuhan yang ditawarkan nikmatnya melebihi daripada nikmat memperjuanngkan parti, bangsa dan negara..jadi amat perkara ini hendaklah dibelenkan dengan cara yang sewajarnya ..jadikan perkara rasuah atau politik wang ni satu najis mcm kita labellkan dadah sebagai najis dadah ..ade kesannya kalau dah nama najis .. hukuman nya kasik khw-khaw sikit ..barula orng takut sikit.. alangkah bagusnya kita kalau ade robocop yang dapat menangkap penjenayah dan menghukumnya dengan tidak ade proses "dacing" yang mana ade kalanya dacing tu nampaknya senget tapi kita kira "halal beralal" aje la pasal "anok beranok" punya kirjaa..ahoiiii..indahnya dunia hog di sekyen 14