Bila kita mula mendengar dan membaca laungan dan sindiran bahawa unsur-unsur Mahathirisma akan kembali mempelopori lanskap politik negara, kita perlu lihat daripada mana punca laungan berkenaan untuk memahaminya. Bila diteliti, bunyi-bunyian ini adalah datangnya dari pucuk pimpinan Pakatan Rakyat, dari situ dapat kita fahami mengapa ianya ditimbulkan, dikitar-semula.
Setelah senjata utama yakni isu "penukaran kerajaan" yang dijaja memakan diri sendiri, kepimpinan Pakatan Rakyat mula sedar mereka
mengalami krisis persepsi yang amat meruncing di mata golongan majoriti senyap dalam negara ini.
Isu-isu hak asasi dan kebebasan (secara total dan tanpa memperdulikan sensitiviti golongan yang lain) juga telah mula menjadi basi dan lapuk. Bagaimana tidak menjadi basi dan lapuk apabila yang diperjuangkan adalah hak asasi dan kebebasan individu tertentu sahaja yang berada di hierarki atas kumpulan mereka dan bukannya golongan marhaen yang berada di bawah. Laungan anti-politik mengikut ras mereka juga telah memakan diri. Mereka kini pula sebaliknya menjadi golongan yang cuba menidakkan hak dan kepentingan golongan yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan.
Keghairahan melampau golongan yang ditatang mereka juga telah mula memualkan mata yang memandang. Setelah hampir 8 bulan pilihanraya umum berlalu, kepimpinan Pakatan Rakyat harus sedar bahawa rakyat sudah mula jemu dengan jajaan politik retorikal mereka yang seolah-olah tiada penyudahnya. Sekarang bukan masanya untuk terusan berpolitik, masa bekerja dan kotakan janji telahpun lama bermula. 5 negeri di bawah PR perlu dijadikan teladan. Segala janji perlu dilangsaikan, bukan berpolitik berterusan. Tambahan lagi dengan keadaan ekonomi dunia yang kian meruncing kini. Air liur sahaja tidak boleh mengenyangkan perut rakyat.
Sayang sekali, kepimpinan PR kelihatan seolah-olah terus alpa dengan mimpi mereka untuk membentuk kerajaan persekutuan. Mungkin kaget dengan pengumuman pengunduran Paklah, modal dan peluru baru segera direncanakan demi
memuaskan keinginan meluap-luap kepimpinan teratas. Pemergian awal paklah dari yang dirancang jelas meresahkan mereka. Umum tahu mereka
amat memerlukan paklah untuk terus memegang tampuk kuasa, kalau boleh selama yang mungkin. Bila paklah akur dengan tuntutan dari dalam UMNO, satu peluru utama hilang selamanya. Tambahan lagi dengan
semangat baru untuk benar-benar berubah yang mula kelihatan di peringkat bawahan UMNO, bermula dengan penolakkan sedikit demi sedikit menantu Paklah, walaupun ianya hanya baru di peringkat pengundian pencalonan telah membawa satu persepsi baru masyarakat luar terhadap UMNO. Penerimaan terhadap wadah "berani berubah" ini terus menambahkan kegusaran kepimpinan PR. Apakah nanti akan lenyap selamanya modal dan peluru kedua mereka ini bila tibanya Mac 2009?
Oleh yang demikian tidak hairanlah mengapa antagonis lama perlu diheret semula ke dalam kancah percaturan politik terkini. Api kebencian perlu disemarakkan kembali. Membiarkan Mahathir bersuara dan menerimapakai nasihatnya akan disamakan dengan penjelmaan semula unsur-unsur Mahathirisma di dalam kerajaan.
Inilah masalah utama kepimpinan Pakatan Rakyat. Mereka juga mengalami masalah serius "sindrom mudah lupa". Kalau dulu mereka menyanjung Mahathir semasa beliau dengan lantang bersuara menegur Abdullah dan kerajaannya, kini mereka sudah mula bertukar nada. Kalau dahulu mereka ada ruang untuk Mahathir di dalam rencana dan wacana perjuangan mereka, kini ruangan itu disempitkan dan ditukar ganti dengan celaan dan omokkan. Mereka lupa bahawa mereka pada satu ketika dahulu ada di kalangan mereka yang sanggup mempelawa dan menerima Mahathir masuk ke dalam parti mereka. Satu penghormatan kata mereka jika beliau berbuat demikian.
Kempen terbaru pucuk pimpinan PR dengan menimbulkan isu kembalinya mahathirisma ke dalam kerajaan BN dengan pengunduran paklah, boleh bertukar menjadi senjata yang memakan diri. Mereka mungkin lupa,
akibat dari kekurangan nyata paklah, umum telah mula
mendambakan kembali kelebihan sepertimana yang ada pada Mahathir. Kepimpinan UMNO sendiri telah terjebak dengan perangkap yang sama. Usaha memburukkan Mahathir telah bertukar menjadi "mini-revolusi" di dalam UMNO sehinggakan akhirnya membawa kepada pengunduran Presiden mereka.
Oleh yang demikian janganlah tangkap-muat sebarangan, dengan memainkan isu yang salah kerana silap haribulan ada di antara elemen "mahathirisma' itu sendiri
yang diinginkan semula oleh rakyat jelata untuk diterimapakai oleh kerajaan yang memerintah kini. Tidak semua yang dibawa oleh Mahathir selama ini adalah yang merosakkan.
Kepimpinan Pakatan Rakyat juga tidak harus menidakkan fakta dan kemungkinan bahawa rakyat kebanyakan yang mengundi sebenarnya bukan sukarela mengundi mereka di dalam pilihanraya yang lepas, tetapi sebenarnya menolak tampuk kepimpinan kerajaan yang memerintah, dengan tidak mengundi BN, sebagai satu protes dan isyarat lantang rakyat yang mahukan perubahan. Perubahan ini tidak semestinya datang dengan cara penukaran kerajaan yang dijaja oleh Ketua de facto PR, tetapi cukup melalui perubahan dan pembaharuan dari dalam kerajaan itu sendiri sepertimana yang sedang rancak berlangsung pada masa kini. Bagi golongan majoriti senyap di dalam negara ini, itu mungkin sudah memadai.
Daripada meneruskan mendendangkan lagu-lagu lama seperti isu
kembalinya mahathirisma ini, demi rakyat jelata, adalah lebih afdal bagi kepimpinan PR menumpukan usaha memainkan peranannya sebagai pembangkang yang berkesan dengan
mempersoalkan isu ekonomi dunia dan kesannya terhadap halatuju ekonomi negara akibat daripada belanjawan "prihatin rakyat" yang dibentangkan sebelum ini oleh kerajaan. Biar umum boleh lihat sendiri sejauhmana kebijaksanaan Menteri Kewangan baru kita beraksi
menangani masalah dunia yang kian menghimpit negara masa kini. Dari situ rakyat boleh menilai sendiri, wajar atau tidak kerajaan ditukar ganti apabila PRU-13 menjelma nanti.