Monday, September 22, 2008

Siapa kata Paklah tidak berupaya dapatkan pencalonan minima sekalipun?

Jangan kita sekali-kali memandang enteng jangkauan dan pengaruh mereka yang bergelar penyandang jawatan. Mungkin pada 18.9.2008, ramai yang menjangkakan hari-hari terakhir Paklah sudah boleh dikira dengan tangan tetapi hasil gemblengan tenaga, kepakaran taktikal dan logistik yang sedia ada, adalah mustahil untuk Paklah boleh gagal untuk dapatkan pencalonan minima demi mempertahankan jawatan Presiden UMNO miliknya sekarang.

Hari ini sahaja, Muhyiddin kelihatan agak goyah. Beliau buat kenyataan memang Paklah sendiri berhak tentukan apa yang akan berlaku di bulan Oktober kelak. Walaupun cuba kelihatan sebagai seorang yang berpegang teguh dengan apa yang telah dikatakan sebelum ini bila menambahkan kenyataan bahawa UMNO peringkat bahagian adalah lebih berhak daripada MKT untuk tentukan legitimasi transisi peralihan kuasa 2010, tetapi beliau tetap akhiri dengan "klausa penyelamat" bila menyatakan tidak siapa berhak untuk menekan Paklah untuk berundur.

Ku Li pula, walaupun cuba kelihatan relevan dan "politically correct" dalam tindakannya untuk mencabar jawatan Presiden, kelihatan agak kucar-kacir dan tanpa koordinasi sepatutnya bila menidakkan sama-sekali kemungkinan bahawa beliau perlu berganding dengan Muhyiddin atau sesiapa sahaja. Malah beliau kelihatan seolah-olah membakar jambatan bila mendesak mereka yang terlibat menghentam Paklah pada 18.9.08 lalu supaya berundur daripada jawatan kabinet masing-masing. Beliau juga cuba menonjolkan keyakinan diri dengan memperlihatkan beliau tidak perlukan apa-apa melainkan dirinya sendiri untuk ditawarkan sebagai Presiden. Ya, mungkin dari satu sudut persepsi yang beliau cuba tonjolkan kepada warga UMNO adalah beliau mempunyai keyakinan tinggi, tetapi Ku Li juga lupa yang mengundi nanti bukan Mat Saleh, tetapi orang-orang Melayu yang mungkin menganggap keyakinan yang cuba ditonjolkan adalah satu sifat kesombongan yang tidak bertempat di pihak anak raja tersebut. Malahan apa yang berlaku hari ini hampir buktikan Ku Li keseorangan walaupun di negerinya sendiri bilamana hampir keseluruhan bahagian di dalam badan perhubungan UMNO Kelantan kecuali Gua Musang dengan sepantas kilat hari ini menyokong Pelan peralihan kuasa 2010.

Bagaimana dengan Najib? Beliau telah kelihatan selesa semula dengan perancangan awal, sebagai "putera mahkota kepada takhta". Lihat sahaja bagaimana gembiranya beliau mula memimpin kementerian kewangan pada hari ini (Buletin Utama TV3). Keriangan jelas terpancar dari airmukanya. Kalau siapa yang menyangka beliau akan melenting kerana beberapa isu, jelas jangkaan mereka meleset. Najib kelihatan selesa dan yakin, membuat keputusan demi keputusan pada hari pertamanya. Saya percaya, sepertimana ramai yang lain juga, bahawasanya TPM akan menunggu 2010 dengan setianya.

Bagi Paklah pula, pasukan penyokongnya jelas telah melakukan gerakan dan koordinasi yang diperlukan bagi pastikan belaiu melantun semula dengan pantas daripada serangan dan asakan 18/9 lalu. Selain daripada Kelantan, badan perhubungan UMNO Pulau Pinang juga meneriakkan sokongan padu mereka kepada Presiden orang sekampung mereka pada malam ini. Semalam pula kita lihat Paklah beramah mesra sebelum Iftar dengan badan Perhubungan Perak. Seterusnya, walaupun Perlis hanya ada 3 bahagian di dalam perhubungan negerinya, di dalam saat genting sebegini setiap undi itu adalah berharga. Dengan pengumuman bahawa Shahidan Kasim dilantik sebagai Penasihat Khas NCER, jelas pasukan presiden bermain dengan berhati-hati dan bersungguh dan mencuba sedaya upaya untuk mengembleng sokongan dari segala pelusuk yang mungkin. Bagi sokongan dari negeri Kedah pula, anak emas Paklah yang memerangkap Ketua Perhubungan UMNO negeri pasti telahpun bergerak untuk pastikan pencalonan daripada Kedah akan memihak kepada presiden sekarang. Jadi tidak perlulah kita pergi ke Sabah dengan Musa Amannya, Pahang dengan adanya Adnan Yaakobnya, Negeri Sembilan dengan Mohamad Hassannya. Mereka ini semua bukan calang-calang hulubalang! Hanya Johor, Selangor dan mungkin Terengganu yang agak neutral kedudukannya. Itupun sebagai contoh bagi negeri-negeri tersebut, di negeri Selangor umpamanya, jika ada Khir Toyo, di sana juga ada Mat Taibnya untuk berikan imbangan semula kepada presidennya. Melaka? Semua boleh agak dengan Melaka saya kira. Bagi WP dan Putrajaya, S/U Agung yang setia senantiasa ada untuk membantu pasukan penyandang jawatan. Ini kita tidak ambil kira lagi semarakkan semangat yang boleh digembleng oleh anak, menantunya dan rakan-rakan!

Jadi siapa kata Paklah akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan hatta pencalonan minima sekalipun? Jangan pandang sebelah mata buah dan jurus "tai-chi" beliau. Ianya masih berbisa.

Dikemaskini (11.51pm)

Hebat tak hebat Presiden UMNO ini, kunjungi dan bacalah blog Depa Kata, di sini & laporan Berita Harian di sini. ;-)

5 comments:

Singh Is Kinng said...

Salam Tuan Lawyer,

Terlau banyak kepentingan peribadi yang menyebabkan Dollah berkeras hati mempertahan jawatan presiden parti.

Pak Lah tak sanggup melihat kerakusan anaknya Kamaludin melapah harta Khazanah terbongkar.

Pak Lah tak sanggup melihat Khairy hilang pengaruh, dan akhirnya terpaksa menjual nasi kandar di Perth. IS THE RESTAURANT STILL THERE?

Pak Lah tak sanggup melihat dirinya sebagai a failed prime minister, lalu cuba membaiki apa yang perlu, macam tikus membaiki labu.

Dan mungkin juga Dollah belum lagi temui Shafie dan Ghazali kerana sibuk dok layan Khairy dan Kali. Harapnya Dollah akan rebah tersungkur di tangan Ku Li.

Lawyer Kampung said...

Salam Tuan PS, pandangan yang bernas! Selamat berbuka puasa bro! :-)

zeme said...

Salam,

Pernyataan yang dibuat TS Anuar kononnya bahagian-bahagian UMNO Kelantan menyokong penuh kepimpinan Pak Lah adalah gimik yang mendahului keputusan perwakilan bahagian.

Selain bahagian Gua Musang, TS Anuar mungkin sengaja menafikan keinginan bahagian Tumpat, Tanah Merah untuk menolak kepimpinan Pak Lah yang mana lebih berminat untuk mencalonkan Ku Li.

15 bahagian UMNO Sabah juga dikhabarkan sedia untuk memberikan percalonan Ku Li selain bahagian Muar di Johor dan usul yang akan dibentangkan oleh perwakilan di bahagian Kuala Kangsar.

ketam said...

Komen 1. JIKA kita bercakap mengenai hak kita di negara ini, atau jika kita bercakap mengenai hak sebagai umat Islam, maka dengan mudahnya kita akan dilabel sebagai racist ataupun mencabul Hak Asasi Manusia. Inilah yang berlaku kepada YB Zulkifli Nordin apabila dia mempersoal Bar Council, dan ini jugalah yang berlaku kepada Dato Ahmad Ismail dan Datuk Hishamudin apabila bercakap tentang sejarah dan keris. Bolehkah Sejarah & Keris dipisahkan dari bangsa Melayu? Sedangkan Lee Kuan Yew mengaku dalam Bibliografinya yang dia berasal dari keturunan Guanzhong di selatan China!

2. Mereka konon mendabik dada menghormati Hak Asasi Manusia dan Mendesak Hak Saksama dengan umat Islam Melayu. Bagaimanapun, jika kita lihat hampir semua mereka mengambil pekerja Wanita Islam Indonesia sebagai pembantu rumah dan menganiaya pula mereka. Kita membaca setiap masa dalam akhbar banyak kes-kes kezaliman majikan mereka memaksa pebantu-pembantunya memegang/memasak khinzir tanpa Memperdulikan Hak Asasi mereka sebagai Muslim. Banyak kes jenayah seksaan terdedah di mahkmah.

3. Lumrahnya pembantu rumah Islam Indonesia diarah bekerja tanpa henti...biliknya diberi selorong dengan lantai antara barang dalam setor, malah mereka tak dihormati ketika tidur atau ketika cuba mengerjakan solat, diganggu sentiasa, bekerja dari sebelum subuh hingga ke lewat malam.

4. Apakah mereka Ikhlas memperjuangkan Hak Asasi Manusia? Benarkah mereka ini Ikhlas hendak menegakkan Keadilan? Mungkinkah mereka itu sengaja menyiksa pembantu-pembantu rumah Islam Indonesia sebagai membalas dendam kepada Melayu.

KALAULAH orang-orang seperti Teresa Kok, Tian Chua, Sivarasah, Ronnie Liu, Karpal Singh Manusia yang Berperikemanusiaan KENAPA tidak mengaturkan bantuan secara sistematik kepada mangsa-mangsa kezaliman pembantu Islam Indonesia yang jadi mangsa tanpa tempat mengadu?

5. Adakah mereka benar-benar Ikhlas atau mereka memang tiada niat berlaku adil malah hanya memutarbelitkan demi tamak haloba & dengki semata-mata. Benarlah Al-Quran menyatakan dengan jelas, jangan sekali-kali percaya akan mereka... Perhatikan kes Teresa Kok dan makanan macam anjing di Kamunting...Dia hina siapa sebenarnya tu? Dia tujukan kepada siapa sebenarnya tu?

6. Sekarang ini, perhatikanlah... Melayu dalam UMNO, Melayu PAS, Melayu dalam PKR semua berebut-rebut nak jadi champion isu-isu yang didesak oleh mereka. Soal makanan macam anjinglah, soal suara azan lah, soal tulisan jawilah, soal ladang khinzirlah semua Melayu dalam UMNO/PAS/PKR berebut-berebut nak jadi juara.

Mereka terlupa satu hal...bagimana pula anjing-anjing yang menyalak 3 4 kali setiap hari setiap malam sehingga mengganggu tidur dan kesihatan umat Islam di sebelah rumah! Agak-agaknya beranikah Ketua Pemuda PAS yang suka Glamour tu memperjuangkan mendesak agar dikawal kalau tidak diharamkan, pemeliharaan anjing di kawasan perumahan demi Hak Asasi Kita juga sebagai Muslim? Beranikah da bersuara di Parlimen?

7. JIka semuanya tidak boleh, maka ingatlah perjanjian semasa nak merdeka dulu...Siapa Raja? Siapa Tuan? Siapa Memberi? Siapa diberi? JIka masih hendak perjuangkan Hak Asasi Manusia, apakah agaknya Hak Asasi orang Melayu Islam di Singapura sekarang ini? Adakah mereka mendapat Hak Asasi mereka sebagai mana dinikmati Hak Asasi oleh bukan Melayu di Malaysia? .

Lawyer Kampung said...

Saudara Zeme dan Ketam, terimakasih atas pandangan anda masing-masing. Salam :-)