Sunday, July 27, 2008

Antara Impian & Realiti

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi dan barisan kepimpinan UMNO yang senada dengannya begitu kuat mencanangkan muqabalah antara PAS & UMNO. Semangat untuk berbincang dan mencapai titik persefahaman ke arah menjitukan perpaduan ummah Melayu & Islam di negara ini jelas kelihatan di dalam tutur-kata mereka ini sehinggakan ianya seolah-olah merupakan agenda utama UMNO di dalam masa yang terdekat ini.

*Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Begitu juga dengan Presiden PAS, Datuk Seri Hj Hadi Awang. Walaupun tidak keihatan begitu beria-ia sepertimana rakan sejawatnya di dalam UMNO, beliau juga menyifatkan cadangan tersebut sebagai satu "anjakan" kepada rakan sejawatnya dalam UMNO tersebut.

Bagaimana pula "angin" di peringkat akar-umbi kedua-dua parti politik yang dikatakan menjadi tunjang dan tonggak orang Melayu di negara ini? Daripada observasi saya, ahli-ahli PAS sendiri tidak begitu pasti hala dan tujuan perubahan "angin" yang di bawa oleh kem muzakarah/muqabalah PAS sehinggakan seolah-olah wujud dua kem di dalam PAS masa kini. Sehinggakan Tuan Guru Nik Aziz mengeluarkan sindiran pedas tapi bermakna bila meminta bubarkan UMNO dan PAS, bikinlah satu parti yang baru mewakili semua orang Melayu, semua orang Islam.

Saya baru pulang bertemu seorang sahabat sebentar tadi. Sambil minum teh tarik saya cuba mendapatkan reaksi beliau, yang juga merupakan seorang ahli UMNO yang cukup setia kepada partinya dan penjawat jawatan utama salah satu bahagian UMNO di Kedah.

Apa yang dapat saya rumuskan daripada sembang-sembang kami tadi, ahli-ahli UMNO sendiri juga sama-samar tujuan halatuju presiden mereka berkaitan dengan muqabalah dengan PAS ini. Apa yang jelas, sahabat saya ini juga tidak begitu optimistik berkenaan dengan niat sebenar presiden beliau.

"UMNO sendiri di dalam perpecahan, bergaduh sana-sini, rebut jawatan sana-sini dia dok sibuk dengan nak menyatu-padu orang Melayu, kununnya" itu kata beliau sebelum kami beralih ke topik lain.

Sambil memandu pulang ke rumah selepas itu, terlintas di dalam hati saya kenapa sekarang? Kenapa tidak selepas pemilihan UMNO? Kenapa tidak selepas muktamar Agung PAS? Survival siapa sebenarnya yang menjadi agenda muqabalah ini, orang Melayu kah atau individu tertentu?

*Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Siapakah yang untung dan siapakah yang rugi sebenarnya jika perbincangan dan permuafakatan ini menemui jalan buntu kelak? Peratusan untuk ianya menemui kebuntuan adalah amat tinggi dan sejarah telahpun membuktikannya bila perpaduan ummah dijadikan bola di atas padang permainan politik. Bukan saya anti kepada perpaduan Melayu, cuma inilah hakikatnya, antara antara impian dan realiti.

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Sayugia diingatkan bahawa pertemua dua parti ini adalah hanya pertemuan dan perrbincangan 2 entiti politik semata-mata dan wujud bahananya yang tersendiri seandainya ia ditafsirkan sebagai wacana permuafakatan Melayu sejagat. Tidak semua orang Melayu di dalam UMNO & PAS, ada yang berada di dalam parti-parti politik lain semenanjung mahupun di Sabah & Sarawak. Malahan ramai lagi yang apolitikal, tidak pun berada di dalam mana-mana parti politik.

*Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Sampai bila indeks aras penanda perpaduah ummah Melayu perlu dihalakan kepada PAS & UMNO sahaja? Tidak semua orang Melayu melihat bahawa perpaduan dan permuafakatan itu adalah hanya melalui jalan politik.

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Politik adalah bukan segala-galanya.


*Bait-bait puisi dipetik dari nukilan Usman Awang berjodol "Melayu"


2 comments:

Anonymous said...

Good observation LK, particularly love that Usman Awang's piece. Bull's eye!

Anonymous said...

Salam.Today's young Malays seem to dispute the origin of HANG TUAH; whether he was truly from Malay blood or Chinese blood instead. The least why dont Malays focus on the DREAM( IMPIAN) that 'TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA' because REALISTICALLY disputing things too much like this will make the MALAYS lose their LEGENDARY WARRIOR ICON and what's next soon...lose the country to others???