Sunday, July 27, 2008

Siapa "check-mate" siapa?

Rata-rata ahli UMNO menerima dengan penuh kesenangan berita keretakan Pakatan Rakyat, tambahan lagi bila DAP bersuara mempersoalkan keikhlasan PAS di dalam pakatan tersebut. Saluran Media Perdana (MSM) begitu ghairah melapurkan isu tersebut. Gembar-gembur Tuan Guru Nik Aziz mencadangkan pembubaran kedua-dua parti terlibat dalam muqabalah dan pergabungan semula sebagai entiti lain dilaung-laungkan oleh saluran-saluran televisyen kerajaan dan pro-kerajaan.

Malahan terdapat beberapa menteri kabinet termasuklah Menteri Penerangan mencanangkan perasaan optimis mereka terhadap perkembangan ini. "Tidak Mustahil" kata mereka.

Persoalan yang saya ingin ketengahkan di sini adalah siapa yang sebenarnya sedang melakukan langkah untuk "check-mate" siapa? Menarik! Saya terpanggil untuk membuat beberapa andaian dan observasi di sini. Izinkan saya.

Pertama, bagi pihak UMNO, sudah tentulah mereka ghairah dengan perkembangan mutakhir ini dan akan terus melaung-laungkan kesanggupan PAS duduk semeja dan berbincang untuk mencari satu titik persefahaman ke arah penggabungan dua parti ini. Masakan tidak dicanangkan, ianya adalah satu perkara yang boleh menjadi katalis dan "batu-api" kepada keretakan permuafakatan musuh politik mereka.

Tetapi politik ini adalah permainan mereka yang licik. Bukan calang-calang manusia yang boleh bermain politik ini. Gelanggang ini hanya untuk mereka yang bijak-bijak belaka (ataupun mereka yang merasakan diri mereka bijak).

Di dalam BN sekarang, siapa yang sudah mula menampakkan ketidak-senangan mereka terhadap perkembangan mutakhir yang berlaku pada UMNO ini? MCA, melalui bakal calon Presiden mereka Ong Tee Keat telahpun mula bersuara, walaupun masih bersulamkan madu, akan keresahan MCA sekiranya berlangsungnya majlis "jejak kasih" PAS & UMNO kelak. MIC ? Gerakan? Tidaklah perlu kita tanyakan, lihat sahaja kepada sandiwara nama-nama jalan di P.Pinang tempohari. Parti-parti komponen yang lain di Sabah & Sarawak? Apakah Presiden UMNO sudah lupa "pesta hendak keluar parti" baru-baru ini?

Mari kita andaikan bahawa PAS sebenarnya sedang bersandiwara dengan UMNO (dengan persetujuan ahli-ahli pakatan mereka, DAP dan PKR), untuk membuai UMNO dengan mimpi indah menerajui semula beberapa buah negeri yang terlepas daripada tangan mereka pada pilihanraya yang lepas dengan ulitan yang merdu lagi mengasyikkan, sehingga beradu nyenyak UMNO dibuatnya.

Sekiranya PAS dikatakan sedang ber"main belakang" dengan UMNO, sudah pasti Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang boleh atau mungkin sedang melakukan perkara yang sama dengan MCA, MIC dan rakan-rakan UMNO yang lain di dalam BN termasuk yang berada di Sabah & Sarawak. Tidak salah bukan? Lagipun UMNO sedang lena nyenyak dibuai mimpi indah bertaut kembali dengan PAS kelak. Inilah masanya langkah pemati pencak silat politik wajar dilangsungkan. Bila lagi?

Seterusnya, lagi seronok permainan politik ini seandainya dimasukkan serba sedikit unsur teaterikal di dalamnya. Hari ini sahaja kita lihat seorang pemimpin DAP dengan terang-terang mempersoalkan keikhlasan PAS. Esok mungkin mereka di dalam PKR pula akan bersuara.

UMNO pula akan terus alpa, diulit mimpi indah menjadi kerajaan semula di beberapa negeri lantas sekaligus menamatkan riwayat politik Anwar Ibrahim. Ghairah dengan sangkaan bahawa mereka sedang memporak-perandakan rumahtangga musuh mereka sedangkan rumah mereka sendiri, yang sememangnya tidak terurus, itulah yang sedang diporak-perandakan orang.

Walau apa pun taktik mereka kali ini, PAS pada pendapat saya tidak akan rugi apa-apa, malahan mereka sebenarnya (dengan memulakan langkah muqabalah ini) telahpun menjadi "golongan bebas" yang diwar-warkan oleh Che Det sebelum ini (apabila beliau menyarankan ahli-ahli parlimen BN untuk keluar daripada pakatan Barisan Nasional dan menjadi "king maker" dan "pendesak" kepada siapa memegang tampuk pemerintahan negara) dan akan mempunyai kuasa tawar-menawar yang amat besar di dalam permuafakatan Pakatan Rakyat itu sendiri. Jurus dan langkah pencak PAS bertambah baik sejak kebelakangan ini.

Akhir sekali, persoalannya, siapakah yang sedang "check-mate" siapa sekarang ini?

P/S: Ini hanya andaian daif daripada saya sahaja yang sememangnya jahil mengenai politik.

Wallahualam

4 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum wrth,
saya nk PAKATAN RAKYAT check mate BARISAN NASIONAL. pd saya, tiada perjumpaan langsung yang di layan..
tp di layan juga... ader muslihat yang mementingkn individu atau parti atau rakyat?
politik itu tidak kotor..yang kotor org2nya..

Anonymous said...

Aku pun!

Anonymous said...

I don't think PR is as clever as what you have said, especially PAS. It's just another malay party in search of better ground to supports its ideology.

Lawyer Kampung said...

Hanitha,anon & non-partisan & anon Everybody is free to see it as how they want to see it. As they see fits. That's the beauty of it all. Thanks for visiting LK.